Beberapa hari yang lalu, penyanyi dan komposer tempatan, Ateng atau juga dikenali sebagai Baha Tungau baru saja merasmikan restoran miliknya yang terletak di Austin Business Park, Penampang.

Restoran non-halal yang diberi nama Atukoi Café 88 itu menawarkan menu tempatan yang cukup menarik seperti Tom Yam Beruas, Sup Aramaiti Atukoi (daging non-halal), Kaki Ayam Tuhau, Vogs Chop, Makanan Kampung Atukoi Style dan banyak lagi.

Gambar kenangan ketika majlis pelancaran Atukoi Cafe 88.

Seperkara lagi yang menarik dan unik adalah restoran itu telah mengadakan ikatan kerjasama dengan sebuah Radio Online, Atukoi FM (Dimana menjadi inspirasi kepada nama restoran ini).

Justeru itu, sesuai dengan prinsip mereka yang mahu membantu menaikkan masakan tempatan dan juga membantu anak-anak tempatan membina karier, restoran itu juga bakal menjadi satu platform untuk artis-artis Sabah.

DJ Othoe dan rakan penyampai Radio Online Atukoi FM yang lain.

“Artis-artis Sabah boleh membuat persembahan ataupun pelancaran album secara percuma disini.

“Kalau sudah sampai masa nanti kita akan ada satu kabinet disini untuk pameran album artis tempatan kita tanpa mengira bangsa.” Ujar Gesiri Gambung, yang merupakan pemilik bersama Atukoi Café 88 ketika majlis pelancaran restoran tersebut pada 18 Januari yang lalu yang mana turut dihadiri Pegawai Daerah Penampang, YBhg Tn Robert Stidi.

Dari kiri, Gesiri Gambung (Pemilik Bersama Atukoi Cafe 88), YBhg Tuan Robert Stidi (Pegawai Daerah Penampang) dan Ateng (Pemilik Bersama Atukoi Cafe 88)

Sudah tentu ini adalah suatu perkembangan yang baik untuk arena seni tempatan Sabah kerana kini mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk memasarkan karya mereka.

Difahamkan juga, lagu-lagu yang dimainkan di restoran ini terdiri dari lagu-lagu tempatan Sabah sahaja. Bayangkan saja sambil menikmati juadah masakan tempatan, dalam masa yang sama berhibur dengan karya-karya tempatan. Bak kata orang Tuaran, Duniaaaa!

Tambahan lagi para artis juga akan dapat publisiti yang lebih luas melalui Radio Online Atukoi FM jika mereka memilih Atukoi Café 88 untuk menjadi saksi pelancaran album atau single mereka.

Tahniah Atukoi Café 88 & Atukoi FM atas idea bernas ini. Selamat maju jaya!