“Dari Tobelo Ambon Ke Kinabalu, Singgah ke Tawau Membeli Belah, Sayang Malaysia Sayang Indonesia, Kita Bersatu Dalam Lagu.” Lirik ini dipetik dari lagu terbaru penyanyi, pengarah dan pelakon tempatan, Ebi Kornelis.

Lagu tersebut bertajuk ‘Satu Dalam Karya (Goyang Nusantara)’ duet dan ciptaan bersama Kelvin Fordatkossu, pencipta dan penyanyi asal ‘Goyang Tobelo’.

Goyang Nusantara. Kolaborasi Antara Malaysia dan Indonesia.

Semuanya bermula sejak tahun 2012 apabila Ebi melihat lagu dan tarian poco-poco mendapat sambutan dimana-mana majlis. Namun idea itu belum terlaksana sehinggalah beliau berkenalan dengan penyanyi dari Ambon, Maluku itu.

“Saya rasa ingin mencipta lagu-lagu seperti itu tapi susah mahu dapat ilham.

“Hinggalah pada hujung tahun 2017, saya berkawan dengan penyanyi yang fenomena dengan lagu Goyang Tobelo, saudara Kelvin (Frodatkossu).

“Saya sering mengikuti perkembangan beliau di media sosial. Sampai satu hari saya sampaikan pada beliau harapan saya untuk dapat berkolaborasi.” Katanya yang pernah popular dengan lagu Sayang Sabah.

Lagunya ‘Goyang Tobelo’ yang dinyanyikan semula oleh Yopie Latul menjadi fenomena sejak 2 tahun lalu.

Tembus Pasaran Kuala Lumpur Susah, Baik Terus Ke Peringkat Antarabangsa

Motivasi beliau untuk menghasilkan ‘Satu Dalam Karya (Goyang Nusantara)’ ini jelas untuk memenuhi impiannya sejak 6 tahun lalu. Namun menurut penyanyi berusia 35 tahun itu, terdapat satu lagi perkara yang memberi suntikan semangat buat beliau.

“Yang buat saya semakin bersemangat mahu bikin lagu dengan Kelvin adalah kerana sukarnya untuk tembus ke Kuala Lumpur.

“Jadi baik saya cuba kolaborasi dengan artis negara jiran. Terus ke peringkat peringkat antarabangsa.” Ujar naib juara rancangan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu.

Ebi juga bergiat aktif dalam bidang pengarahan.

Berbanggalah Ada Terselit Unsur Sabah Dalam Lagu Ini

Beliau yang pernah menghasilkan drama ‘Limbai Cinta’ dan telemovie khas Kaamatan ‘Demi Si Aki’ menambah, lagu itu juga ada unsur tempatan sekaligus dapat memperkenalkan budaya kita ke negara jiran.

“Selama ini kita kenal lagu mereka berentak poco-poco. Apa kata kali ini kita kenalkan unsur-unsur tempatan Sabah dalam lagu asli mereka.”

“Berhiburlah dengan lagu-lagu berentak seperti ini dan berbanggalah ada nama-nama tempat dan unsur tempatan dalam lagu ini.”

“Harapan saya lagu ini akan jadi fenomena dan diterima masyarakat seperti mereka menerima lagu Poco-Poco, Jamilah, Lecobiat, Gemu Gamire Dan Goyang Tobelo.”

Dalam satu perkembangan lain, Ebi juga sedang dalam penggambaran untuk sebuah super tele berjudul Puaka Pak Selar. Anda boleh saksikannya di Astro First nanti.

Seram watak Ebi ni dalam super tele Puaka Pak Selar

Bah, apa lagi jom dengarkan lagu ‘Satu Dalam Karya (Goyang Nusantara) di saluran YouTube Kelvin Fordatkossu! Tekan sini. (Untuk Pengguna PC)