Lazimnya apabila tiba musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, banyak lagu baru berkaitan Raya akan berkumandang.

Biasanya artis Melayu tidak kira tua dan muda akan muncul dengan lagu-lagu Raya terbaru dari mereka.

Di Semenanjung Malaysia mungkin sudah menjadi kebiasaan, tetapi di Sabah hanya pada waktu perayaan Pesta Kaamatan sahaja yang akan kedengaran lagu-lagu baru, itu pun dalam bahasa KadazanDusun.

Tetapi di Sabah, lagu-lagu Hari Raya tidaklah sehebat lagu-lagu Kaamatan, hanya seorang dua artis yang mencipta lagu menjelang perayaan tersebut.

Bagi Khai Puma Jamal pula, kedua-dua perayaan ini memberi makna mendalam buat dirinya.

Sebab itulah dia berhasrat melancarkan sebuah lagu Raya bertajuk ‘Raya Kan Sebulan’ pada hujung bulan Mei ini, iaitu beberapa hari sebelum Syawal menjelma.

Berbeza dengan lagu-lagu Raya yang biasa didengar, lagu ‘Raya Kan Sebulan’ lebih banyak memberi nasihat dan peringatan kepada orang ramai yang meraikannya agar sentiasa beringat dan berjimat dalam berbelanja, seiring dengan kemampuan diri.

Artis berketurunan Dusun ini bersyukur kerana dalam kesibukan di sana-sini dia tetap mampu menyiapkan proses rakaman vokal dan seterusnya penggambaran klip video lagu tersebut sebelum berakhir Kaamatan.

Bercakap mengenai proses penyiapan lagu dan video tersebut, katanya berkat bantuan ramai kawan akhirnya lagu dan video klip ‘Raya Kan Sebulan’ itu berjaya disiapkan.

“Proses ini memang agak mencabar kerana memerlukan komitmen saya untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Sabah, tetapi atas dasar minat dan kepuasan diri, inilah hasilnya,” kata Khai Puma sambil menunjukkan klip videonya dan lagu yang disunting oleh Pusakag Production.

Bagi peminat Khai Puma yang belum menonton video ini boleh berbuat demikian menerusi laman Youtube, hanya perlu menaip ‘Raya Kan Sebulan’.

Paling menarik katanya, ialah penampilan istimewa seorang artis dan penyampai radio terkenal di penghujung video berkenaan.

“Kamu tengoklah sendiri baru ‘surprise’,” katanya yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Penganjur Perayaan Pesta Kaamatan Klang Valley, Selangor tahun ini.

Kita ucapkan selamat berpuasa kepada Khai Puma dan semoga terus sukses dalam segala bidang yang diceburi.