Kumpulan Metal yang cukup popular dalam kalangan pemuzik tempatan di Sabah, Poseidon bakal tampil dengan album baharu tidak lama lagi.

 

Mereka juga telah berjaya mengeluarkan album EP enam bulan lalu, dan sehingga kini masih lagi dalam proses memasarkannya kepada para peminat seni hiburan tempatan di Sabah terutamanya peminat muzik Rock dan Metal di Sabah dan di seluruh tanah air.

 

Lebih mengejutkan, mereka sebenarnya turut menyatakan niat untuk mencuba pasaran di Negara Matahari Terbit, Jepun.

 

Jurucakap kumpulan itu yang juga vokalis Poseidon, Kay, berkata, terdapatr tiga buah lagu dimuatkan di dalam album EP berkenaan yang berjudul ‘Poseidon – The Night On Shinbashi).

 

Tiga lagu tersebut termasuk single terbaharu mereka bertajuk ‘Ontoros Antanom’, ‘Dream’ dan ‘My Land’.

 

“Full album dijangka akan keluar pada tahun depan, dimana kita mempertaruhkan lebih kurang 10 lagu semuanya, tiga lagu Melayu, tiga lagu Inggeris dan empat lagu Jepun,” kata Kay.

EP Poseidon yang mengandungi 3 lagu iaitu Ontoros Antanom, Dream dan My Land

 

Ditanya mengenai pasaran di Jepun nanti, menurut mereka, peluang itu diambil kerana secara kebetulan ada seorang produser dari situ (Jepun) yang telah menyatakan minat untuk menerbitkan dua lagu di dalam album itu nanti.

 

“Jadi, insyallah kita juga akan ada pendengar dari Jepun kerana di situ juga muzik dalam genre Rock atau Metal masih mempunyai pengikutnya yang tersendiri,” ujar Kay.

 

Antara lagu Jepun di dalam album itu terdapat juga lagu sedia ada yang dialih bahasakan, dan terdapat lagu cover iaitu lagu bertajuk ‘Monster’, manakala dua lagi dicipta khas oleh penerbit tersebut sendiri.

 

“Beliau yang kami maksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Hero Nakamura, yang banyak menulis lagu-lagu untuk kartun ‘anime’ di Jepun,” katanya.

 

Masih mengekalkan konsep Proggressive Metal, lagu ‘Ontoros Antanom’ yang dibawakan Poseidon menceritakan tentang watak pahlawan Sabah, Antanom.

Dari kiri Ramzul (Drum), Hafiz (Keyboard), Hasdee (Gitar Utama), dan Kay (Vokal).

 

“Dalam lagu ini, kita bercerita tentang misteri kepahlawanan beliau (Antanom), serba sedikit kenapa dia digelar sebagai pemberontak dan sebagainya,” jelas Kay.

 

Kumpulan Poseidon dibarisi seramai enam orang anak muda, Kay (Vokalis), Hasdee (Gitar Utama), Hafiz (Kibod), Ramzul (Drum) Romie (Flute) dan Nai (Bass).

 

Untuk rekod, sebelum ini Poseidon turut dikenali sebagai Borneon, dianggotai lima orang ahli, dua orang ahli bertukar selepas menjadi Poseidon, dan salah seorangnya ialah pemain seruling/flute terkenal, Romie.

 

Poseidon dikenali kerana berjaya menjuarai Yamaha Band Mentor di Kuala Lumpur pada tahun 2016 yang melayakkan mereka terpilih sebagai peserta Asian Beat di Jepun pada tahun yang sama.

 

Walaupun tidak berjaya menjadi juara, namun membawa nama sebagai wakil Malaysia sekaligus menduduki tempat ke-3 di bawah komposer yang juga mentor mereka, Aubrey Suwito sememangnya satu pencapaian yang membanggakan buat mereka.

Sesi Temubual Kumpulan Poseidon bersama GingKaras

 

Pendapat mereka mengenai scene local band di Sabah, menurut mereka, band-band sebenarnya semakin banyak, cuma sekarang agak kurang pendedahan dan event seperti pertandingan band-band (Battle Of The Band) juga tidak lagi serancak dahulu.

 

“Terima kasihlah kepada laman web seperti GingKaras.com, OnlineFM (Bro Langau), majalah tempatan dan sebagainya yang sentiasa mengikuti perkembangan band-band local seperti kami ini, sekurang-kurangnya kami rasa masih diingati dan dihargai,” kata mereka.

 

Kepada kamurang yang mau memiliki album EP Poseidon boalehlah menghubungi mereka menerusi Facebook Fan Page di username @poseidonkotakinabaluofficial

Oh ya. Kamurang boleh tonton video live akustik “Ontoros Antanom” pada pautan berikut : https://www.youtube.com/watch?v=0iQIReGcs_g